Skip to main content
SARSAT

Mencari & Menyelamat

Bayangkan kapal terbang anda terhempas di gunung-ganang, atau kapal anda terkandas di lautan, atau anda tercedera sewaktu menjelajah di hutan belantara. 

Anda cemas dan memerlukan bantuan segera. Setiap detik waktu amat berharga jika anda ingin pulang dengan selamat. Namun, para penyelamat perlu terlebih dahulu dapat menemui anda sebelum apa-apa bantuan boleh diberikan. Mujurlah kini terdapat teknologi zaman angkasa yang mampu mengawasi anda dan mendengar panggilan anda.

Cospas-Sarsat ialah suatu sistem satelit yang direka bentuk untuk memberikan amaran kecemasan (distress) dan data lokasi untuk membantu operasi mencari dan menyelamat, yang menggunakan pesawat dan kemudahan di darat untuk mengesan dan menentukan kedudukan isyarat mercusuar kecemasan (distress beacons) yang beroperasi pada 406 Megahertz (MHz) atau 121.5 MHz. Kedudukan peristiwa kecemasan dan maklumat lain yang berkaitan disampaikan kepada Pusat Perhubungan Mencari dan Menyelamat (Search and Rescue Point of Contact - SPOC) yang wajar, melalui rangkaian Pusat Kawalan Misi Cospas-Sarsat (Cospas-Sarsat Mission Control Centre - MCC). Matlamat sistem ini adalah untuk memberi sokongan kepada semua organisasi di dunia yang bertanggungjawab terhadap operasi SAR, sama ada di laut, di udara atau di darat.

Sistem Cospas-Sarsat membekalkan amaran kecemasan dan data lokasi kepada Pusat-pusat  Penyelarasan Penyelamat (Rescue Coordination Centers - RCCs), bagi mercusuar 121.5 MHz sekitar kawasan liputan stesen darat Cospas-Sarsat (Local User Terminals - LUTs), dan bagi mercusuar 406 MHz yang diaktifkan di mana-mana di dunia. Pengoperasian Cospas-Sarsat mula digunakan oleh agensi SAR ketika terhempasnya pesawat ringan di Kanada, yang mana tiga orang diselamatkan pada 10 September, 1982. Semenjak itu, sistem berkenanan telah digunakan bagi ribuan peristiwa dan berperanan menyelamatkan lebih 17,000 nyawa di seluruh dunia.

Konsep berkaitan melibatkan penggunaan gandaan satelit dalam orbit near-polar rendah yang "mendengar" transmisi kecemasan. Isyarat yang diterima oleh satelit disalurkan ke suatu rangkaian stesen bumi yang khusus, di mana lokasi kedudukan ditentukan dengan mengukur anjakan Doppler antara satelit, yang orbitnya diketahui dengan tepat, dengan isyarat kecemasan berkenaan. Maklumat ini kemudian disalurkan kepada suatu Pusat Kawalan Misi (Mission Control Centre - MCC) yang menyampaikan amaran kepada Pusat Penyelarasan Penyelamat (Rescue Coordination Center - RCC) yang sesuai. RCC kemudian memulakan operasi mencari dan menyelamat yang sebenar mengikut amalan konvensional.

Penggunaan pemancar khas frekuensi radio, yang diaktifkan secara automatik oleh kemalangan kapal terbang atau kapal, dapat memendekkan dengan amat ketara masa yang diperlukan untuk menyampaikan amaran kepada angkatan penyelamat tentang peristiwa berkenaan dan untuk membantu pasukan penyelamat menuju tepat ke tempat kejadian. Penggunaan Pemancar Pencari Kecemasan (Emergency Locator Transmitters - ELTs) ini dan Mercusuar Radio Petunjuk Kedudukan Kecemasan (Emergency Position Indicating Radio Beacons - EPIRBs) yang setara dengannya bagi peristiwa marin, telah berkembang dengan pesatnya dalam dekad ini sehinggalah sampai kepada program SARSAT.

Cospas-Sarsat diwujudkan pada 1979 apabila suatu memorandum persefahaman di tandatangani antara Kanada, Perancis, Amerika Syarikat dan Kesatuan Republik Sosialis Soviet. Sarsat bermaksud Search and Rescue Satellite-Aided Tracking, iaitu Penjejakan Berbantu Satelit Dalam Mencari dan Menyelamat, dioperasikan oleh Kanada, Perancis dan Amerika Syarikat. Cospas dioperasikan oleh Rusia dan melaksanakan fungsi yang sama. Satelit-satelit pertama Cospas-Sarsat dilancarkan masing-masing pada 1982 dan 1983, diikuti kemudian dengan satelit-satelit tambahan.

     Kerjasama ini mencapai kemuncaknya pada 1 Julai 1988 apabila keempat-empat negara berkenaan menandatangani Perjanjian Program Cospas-Sarsat Antarabangsa (International Cospas-Sarsat Program Agreement) di Paris. Susulan daripada perjanjian ini, Organisasi Maritim Antarabangsa (International Maritime Organization) menerima-pakai sistem Cospas-Sarsat 406 MHz untuk Sistem Kecemasan Maritim dan Keselamatan Global (Global Maritime Distress and Safety System). Cospas-Sarsat adalah satu contoh yang amat terserlah tentang bagaimana negara-negara boleh bekerjasama untuk berkongsi dalam penggunaan angkasa dan teknologi angkasa.

     Dengan kemajuan teknologi, terdapat penyelesaian-penyelesaian baru bagi Mencari dan Menyelamat berasaskan angkasa yang dicadangkan dan dilaksanakan secara berterusan. Kesemuanya menjanjikan keberkesanan dan ketepatan yang lebih tinggi, serta tindak balas yang lebih cepat.

     Galileo, sistem satelit pandu arah global milik Eropah, akan membekalkan fungsi Mencari dan Menyelamat (Search and Rescue - SAR) berdasarkan sistem operasi Cospas-Sarsat sebagai suatu fitur tambahan. Untuk itu, setiap satelit dilengkapi suatu transponder, yang boleh memindahkan isyarat kecemasan dari pemancar pengguna ke Pusat Penyelarasan Penyelamat (Rescue Co-ordination Centre - RCC), yang seterusnya akan menggerakkan operasi menyelamat. Pada masa yang sama, sistem akan memberi isyarat kepada pengguna, memaklumkannya bahawa keadaannya telahpun dikesan dan bantuan sedang diikhtiarkan. Fitur terakhir ini adalah baru dan dianggap suatu peningkatan besar berbanding sistem sedia ada yang tidak memberi maklum balas kepada pengguna.

 

Pautan

International Satellite System For Search & Rescue